Menanti wujudnya universiti wakaf pertama di Malaysia

Web Hosting
Oleh RAM AL JAFFRI SAAD
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia.
PENULIS begitu teruja dengan titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah semasa merasmikan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) pada 19 Disember lalu seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia. Baginda bertitah mengenai peranan dan kepentingan sistem wakaf dalam membina institusi pengajian tinggi seperti mana di negara-negara Islam yang lain.

Baginda memberikan contoh yang mana di Turki, sebanyak 62 daripada 166 universiti di sana dibina dengan menggunakan harta wakaf. Di bandar raya Istanbul sahaja, sebanyak 33 daripada 42 universiti dibiayai secara wakaf.

Apa yang membuatkan penulis berasa lebih bangga ialah apabila Raja Dr. Nazrin telah mewakafkan kawasan seluas 100 ekar untuk tapak kampus pengajian KUISAS. Sikap dan perbuatan ini wajar diteladani oleh setiap umat Islam lain yang berkemampuan.

Peranan wakaf dalam penyediaan pendidikan di Malaysia adalah sangat besar. Sebagai contoh institusi wakaf pendidikan seperti institusi pengajian pondok, pengajian madrasah, persekolahan aliran perdana, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebahagiannya dibiayai oleh harta wakaf.

Sehingga tahun 2005 dianggarkan terdapat sebanyak 174 buah institusi wakaf pendidikan di Malaysia. Namun, kebanyakan institusi ini tertumpu kepada tahap pendidikan peringkat rendah dan menengah. Penubuhan institusi pendidikan wakaf peringkat tinggi masih kurang menggalakkan.

Justeru, penulis berharap agar suatu hari nanti akan terbina universiti wakaf pertama di Malaysia. Ini kerana dengan penubuhan universiti ini, banyak agenda kemajuan ummah dapat direalisasikan.

Dalam sejarah Islam, semua sedia maklum bahawa Universiti al-Azhar di Mesir terbina dengan biaya harta wakaf. Ia bermula dengan sebuah masjid yang kemudiannya dilestarikan sehingga menjadi sebuah universiti tersohor di dunia. Universiti yang dibina sejak 1,000 tahun lalu ini telah menyediakan peluang pendidikan kepada semua pelajar Islam secara percuma. Pelajar-pelajar yang datang dari pelbagai negara telah menjadi duta Al-Azhar untuk membimbing umat Islam ke arah penghayatan Islam di seluruh pelosok dunia.

Selain al-Azhar, banyak lagi institusi pendidikan lain di dunia dibiayai harta wakaf. Sebagai contoh Universiti Cordova di Andalus, Madrasah Nizamiyyah di Baghdad, al-Qurawiyyin di Fez, Maghribi, Al-Jamiah al-Islamiyyah di Madinah, Pondok Pesantren Darunnajah di Indonesia dan Madrasah Al-Juneid di Singapura.

Sejarah dan kecemerlangan universiti-universiti ini wajar dicontohi oleh negara-negara Islam di dunia termasuklah Malaysia. Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam, sudah pasti pelaksanaan strategi bagi memajukan ummah di negara kita dapat dilaksanakan secara komprehensif melalui penubuhan universiti wakaf.

Asas penubuhan universiti ini boleh diambil daripada model Universiti al-Azhar, namun penambahbaikan dengan sedikit tambah nilai baru wajar disuntik agar bersesuaian dengan acuan kita sendiri.

Dari segi kuasa, penulis merasakan bahawa universiti wakaf harus diletakkan sama ada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan atau diserahkan kepada sebuah badan pengurusan bebas. Jika diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, segala urusan berkaitan pengurusan dan pentadbiran seperti pengiktirafan kursus yang ditawarkan akan menjadi lebih mudah dan sistematik.

Ini tidak bermaksud untuk menafikan bidang kuasa institusi wakaf negeri-negeri. Ia lebih bersifat sebagai pelengkap kepada penyatuan institusi wakaf negara tanpa menafikan kuasa institusi wakaf negeri.

Jika dirasakan bahawa tidak sesuai diletakkan di bawah Kerajaan Persekutuan, maka penubuhan institusi bebas yang diwakili oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam boleh dilakukan. Dengan diuruskan oleh sebuah badan bebas dan diberikan kuasa autonomi, universiti wakaf dapat berkembang dengan lebih pesat.

Dari segi prasarana dan kemudahan universiti, pembiayaannya haruslah seratus peratus berasaskan wakaf. Umum menyedari bahawa banyak tanah wakaf di negara kita tidak dimajukan. Justeru, tanah-tanah ini boleh dijadikan sebagai kampus universiti wakaf.

Dalam konteks pelajar, universiti wakaf boleh menumpukan kepada usaha menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak orang fakir dan miskin dan anak-anak yatim di seluruh negara. Sebagai contoh, keutamaan boleh diberikan kepada anak-anak asnaf zakat untuk diterima masuk ke dalam universiti ini.

Jika boleh, jangan ditetapkan syarat kemasukan kepada mereka. Beri sahaja peluang kepada mana-mana pelajar miskin yang berkeinginan untuk belajar memasukki universiti ini.

Kos kemasukan para pelajar ini haruslah dibuat secara percuma. Kelengkapan asas dan alatan pembelajaran disediakan sepenuhnya oleh universiti. Ini sudah pasti dapat menyuntik semangat dan motivasi untuk mereka belajar dengan bersungguh-sungguh.

Dari segi staf akademik dan pentadbiran, seharusnya peluang dibuka kepada semua masyarakat yang berkelulusan untuk bersama-sama menyumbang tanpa mengharapkan balasan wang ringgit.

Sebagai contoh, universiti wakaf boleh mempelawa mana-mana pensyarah sama ada di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta yang ingin mewakafkan masa dan tenaga untuk menjadi tenaga pengajar. Penulis sendiri jika mempunyai peluang seperti ini akan bersama-sama membantu menjadi pengajar di universiti ini.

Begitu juga halnya dengan staf yang akan menguruskan hal-hal pentadbiran. Penulis berkeyakinan ramai masyarakat di luar sana akan bersama-sama mewakafkan tenaga dan masa kepada universiti ini.

Jika tidak pun mengharapkan seratus peratus staf-staf akademik dan pentadbiran mewakafkan tenaga mereka, mungkin beberapa orang staf boleh dilantik secara sepenuh masa bekerja di universiti wakaf. Upah dan gaji pekerja ini boleh diambil daripada dana wakaf tunai dan kos gaji atau upah tersebut mestilah pada kadar paling minimum.

Dari segi kursus-kursus yang akan ditawarkan, penulis percaya bahawa satu komiti yang terdiri daripada pakar-pakar akademik boleh dibentuk. Ahli-ahli komiti ini juga diharap dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran secara percuma. Tugas komiti ini adalah bertanggungjawab merangka kursus-kursus yang ditawarkan dan memacu hala tuju universiti.

Justeru, adalah menjadi harapan penulis agar suatu hari nanti akan tertubuhnya universiti wakaf pertama di negara kita. Kewujudan universiti ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada kemajuan agama dan ummah, malah ia dapat memperkasakan ekonomi umat Islam.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140101/re_07/Menanti-wujudnya-universiti-wakaf-pertama-di-Malaysia

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Menanti wujudnya universiti wakaf pertama di Malaysia"

Post a Comment