MENGURUS UNIVERSITI MELALUI PEMBIAYAAN WAKAF

Web Hosting
SINGAPURA, 8 Mei – Menjadi pencetus sekaligus mempelopori pembangunan dan pengurusan IPTA melalui pembiayaan wakaf atau wakaf financing pada masa hadapan menjadi antara keutamaan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ini memandangkan bidang pembiayaan wakaf ini adalah sesuatu yang baru dalam ruang lingkup pendidikan tinggi negara.

Bagi membangunkan model pembangunan pembiayaan wakaf yang terbaik dan berdaya saing untuk USIM, beberapa institusi yang telah lama menceburi dan berjaya dalam bidang ini telah dikenalpasti . Salah-satu daripada institusi ini adalah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), yang telah melaksanakan inovasi dalam pengurusan wakaf secara profesional dan terbukti amat berjaya.

Justeru, baru-baru ini Pengurusan Universiti dengan diketuai YBhg. Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail telah berkunjung ke sana bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman MUIS menguruskan pembiayaan wakaf mereka sehingga menjadi salah satu institusi yang ternama dan mempunyai reputasi cemerlang di Singapura.

Menurut Naib Canselor “Universiti berhasrat menggerakkan Wakaf Financing secara serius selari dengan Amanat Tahun Baharu 2013 lalu. Mungkin pada masa hadapan, semua IPTA akan diminta untuk mencari endowment atau menceburi wakaf financing.”

“Di sinilah menjadi keperluan dan cabaran utama IPTA untuk menggunakan peruntukan operasi yang diberikan Kerajaan bagi menggembeleng penjanaan kewangan secara wakaf serta diuruskan hasil penjanaan ini secara syariah dan profesional ”.

Selaras memperkasakan hasrat tersebut, Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohamad Hj Alias, Pengarah Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf USIM yang turut serta dalam lawatan ini berkata, keperluan kepada pengurusan dan governan wakaf secara korporat dan profesional sebagaimana diamalkan di Singapura amat diperlukan oleh negara.

“Konsep wakaf yang diperkenalkan lewat abad ke-19 di sana telah berkembang pesat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.  Mengambil contoh MUIS melalui anak syarikatnya Warees Investments Pte Limited telah berjaya membangunkan tanah wakaf di Bencoleen Street,  daripada tapak tanah wakaf yang terbiar kepada sebuah bangunan kediaman komersil”

“Selain dana wakaf tunai, konsep sukuk musyarakah yang melibatkan perkongsian dana di antara pelabur dan MUIS juga boleh dijadikan rujukan. Pembangunan hartanah wakaf secara profesional ini menghasilkan pulangan yang besar kepada MUIS untuk disalurkan semula kepada umat Islam yang memerlukan “ katanya.

Turut serta dalam lawatan USIM ke MUIS, Singapura adalah wakil daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang akan bekerjasama dengan USIM untuk menerokai pembiayaan wakaf ini dengan lebih mendalam.

Sumber :http://news.usim.edu.my/ms/berita-kampus/item/354-mengurus-universiti-melalui-pembiayaan-wakaf

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "MENGURUS UNIVERSITI MELALUI PEMBIAYAAN WAKAF"

Post a Comment